TANGGAL 12 Rabiulawal 571M merupakan tarikh kelahiran Nabi Muhammad yang membawa keberkatan kepada seluruh alam. Sejarah hidup Rasulullah melalui pelbagai jalan getir dan hidup yatim piatu sejak berusia enam tahun apabila bonda yang disayanginya meninggal dunia.
Kemudian, baginda hanya sempat dua tahun sahaja dapat menumpang kasih sayang daripada datuknya Abdul Mutalib ketika usianya lapan tahun.
Mula berjinak-jinak menjadi seorang peniaga apabila sentiasa mendapat pendedahan daripada bapa saudaranya. Rasulullah menjadi idola kepada remaja kerana beliau dikenali dengan gelaran al-Amin atau terpuji.
Terpuji kerana sifatnya yang tidak pernah menyembah berhala dan sentiasa melihat dan merenung terhadap persekitaran dan kekayaan alam kelilingnya.
Atas sifat terbilangnya dan kepimpinan diri, Rasulullah diberi penghormatan untuk menyelesaikan pertikaian dan perbalahan kerana perebutan kuasa dalam kalangan ketua Kabilah untuk menempatkan hajarul aswad.
Terkenal sebagai pengembala kambing dan peniaga yang memiliki sifat amanah, cekap, jujur, sabar dan ikhlas. Firman Allah: "Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)"- surah al-Ahzab: 21.
Sahabat istimewaRakan dan sahabat Rasulullah amat setia dan banyak berkorban demi usaha dan kejayaan untuk menanam kefahaman dan ajaran Islam.
Siapa yang tidak kenal dengan Bilal, seorang pemuda yang kental dan sanggup berkorban demi menegakkan kalimah Allah agar sentiasa bertakhta dalam jiwanya.
Begitu juga dengan Yasir dan keluarganya yang dizalimi oleh Abi Jahal. Mus'ab Umair, seorang remaja kaya dan tampan sanggup mengorbankan segala kemewahan hidupnya dan sanggup menerima cercaan dan deraan daripada ibu kesayangannya kerana bertekad untuk meninggalkan tanah air sendiri untuk sama-sama berhijrah dengan Rasulullah ke Madinah. Usman Mad'un, buta matanya angkara kezaliman musyrik.
Begitu juga dengan Uthman Affan dan Abu Bakar yang turut menerima pelbagai seksaan. Khabab Art menerima seksaan sampai melecur badannya.
Dipakaikan baju besi dan dibaringkan di atas pasir panas. Dipanggang di atas bara api sehingga lemak-lemak dan darah keluar dan menyebabkan bara terpadam.
Umar ketika menjadi khalifah pernah bertanya tentang derita yang pernah dialami oleh Khabab lantas ditunjukkan parut lukanya di badan. Lantas Umar berkata, dengan keluhan 'Aku tidak pernah melihat parut yang begini rupa'.
Kehidupan rumah tangga Mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun dengan Siti Khadijah Khuwailid yang merupakan isteri pertama. Rumahnya terletak berhampiran Masjidil Haram (di Lorong Atarin).
Mengandungi empat bilik iaitu untuk anak-anak, untuk Baginda bersama isterinya, satu bilik untuk beribadah dan satu lagi untuk tetamu.
Khadijah banyak berkorban jiwa raga dan harta benda bersama Rasulullah sepanjang menyebarkan ajaran Islam. Ketika peristiwa menerima Wahyu pertama, Rasulullah pulang ke rumah dalam keadaan terkejut.
Lalu Khadijah terus mententeramkan Baginda dengan kata-kata: "Demi Allah, Allah tidak akan menghina Engkau sama sekali, sesungguhnya Engkau akan menghubung silaturahim, menyempurnakan amanah, memikul beban dan tanggungjawab, memuliakan tetamu dan menolong orang yang mempunyai hak yang terkena zalim".
Seterusnya Khadijah terus berjumpa dengan sepupunya Waraqah Naufal dan menegaskan bahawa itu adalah wahyu yang diturunkan melalui Jibril seperti mana yang telah diturunkan kepada Nabi Isa. Bermula dengan peristiwa ini, Khadijah beriman dengan dakwah suaminya dan merupakan orang pertama percaya dan beriman dengan Nabi Muhammad.
Sejak itu, Khadijah sentiasa bersama Rasulullah memberi segala bantuan dan sokongan dalam keadaan getir menghadapi ancaman kaum kafir Quraisy yang melakukan pelbagai sekatan bekalan makanan dan air. Khadijah meninggal dunia ketika berusia 65 tahun dan dalam masa yang sama, bapa saudara Rasulullah, Rasul Abu Talib pula meninggal dunia. Tahun berkenaan dikenali sebagai tahun bersedih (al-ahzan).
Rasulullah bersama Khadijah dikurniakan enam orang anak. Dua putera (meninggal dunia semasa kecil) dan empat orang puteri (Zainab, Rukiah, Umi Kalthum dan Fatimah).
Selain Khadijah, Rasulullah berkahwin dengan Saudah Zamaah, Aisyah Abu Bakar, Hafsah Umar, Zainab Khusaimah, Hind Ummu Salmah, Juwairiah al-Haris, Sufiyyah Hayy, Ummu Habibah dan Maimunah.
Rasulullah menjadi contoh tauladan dalam pergaulan dengan isteri-isterinya. Pergaulan dengan cara baik dan lemah lembut, penuh kasih sayang dan bertanggungjawab serta berlaku adil dalam memberi nafkah, giliran dan sebagainya.
Baginda melawat isteri-isterinya pada waktu pagi dan petang untuk membantu, memberi nasihat dan mengambil hati bagi mengukuh dan mengikat kasih sayang.
Aisyah pernah menegaskan dengan ungkapan: "Bahawa Rasulullah tidak pernah memukul isterinya dan sentiasa solat berjemaah, pernah menjahit sendiri kainnya, menampal kasutnya, menampung baldinya, memerah susu kambing dan berkhidmat untuk dirinya sendiri".
Sesungguhnya sejarah pahit dan manis kehidupan Rasulullah banyak memberi pengajaran dalam perjalanan hidup kita. Kewafatan Rasulullah pada awalnya mengejutkan para sahabat.
Namun, para sahabat dan Umar akhirnya menerima hakikat bahawa Rasulullah telah wafat dan Umar mula memberi ucapan kepada orang ramai dengan katanya: "Sesiapa yang memuja Muhammad, ketahuilah bahawa Muhammad sudah tidak ada lagi dan barang siapa yang memuja Allah s.w.t, ketahuilah bahawa Allah s.w.t sentiasa hidup dan kekal".
Seterusnya, Umar membaca ayat al-Quran dalam surah ali-Imran ayat 144 yang bermaksud: "Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh)".
Jika demikian, kalau ia mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) dan (ingatlah) sesiapa yang berbalik (berpaling tadah menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada Allah sedikit pun, dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
Monday, April 18, 2011
Tauladan Kehidupan Rasulullah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment