Tuesday, June 14, 2011

versatiliti Ketumbar

Versatiliti ketumbar


KETUMBAR kaya dengan pelbagai bahan mineral dan vitamin.


TAMPIL seakan sayur seleri, ketumbar adalah tumbuhan herba yang boleh didapati sepanjang tahun. Batang, daun dan biji ketumbar memberikan aroma yang sangat wangi.

Ketumbar berasal dari rantau Mediterranean sejak zaman kuno lagi. Ia kemudiannya dibawa dan ditanam di Eropah, Afrika Utara, India, Amerika Selatan, China, Thailand dan Malaysia.

Satu analisis ke atas herba bernama ketumbar ini mendapati ia kaya dengan pelbagai bahan mineral dan vitamin.

Kalsium karotena, zat besi, fosforus dan vitamin C merupakan antara 'elemen' penting yang terkandung di dalamnya. Selain itu, ketumbar juga mengandungi potasium dan sodium.

Dedaun ketumbar biasanya digunakan sebagai bahan tonik untuk menguatkan perut dan membuang angin. Selain itu, ia juga bertindak menyingkirkan kahak, mengurangkan demam panas serta meningkatkan pembuangan air kecil.

Bagi mereka yang mungkin mengalami kekurangan zat seperti vitamin A, B1, B2, C dan besi, pengambilan jus ketumbar mungkin boleh membantu.

Tumbuhan ketumbar yang muda biasanya digunakan sebagai rempah dalam penghasilan sos, kari, sup dan acar buah-buahan. Minyak ketumbar yang versatil juga dijadikan sebagai bahan perisa serta digunakan dalam perubatan tradisional.

Biji ketumbar yang dikeringkan biasanya menjadi ramuan penting dalam penghasilan pelbagai makanan termasuk kari, rempah jeruk, sosej dan makanan beroti.

Dari segi perubatan tradisional pula, berikut antara kegunaan ketumbar dan juga bijinya.

Masalah pencernaan

Campuran susu mentega segar dengan satu atau dua sudu teh jus ketumbar boleh membantu melegakan masalah pencernaan seperti colitis ulser, pening dan hepatitis. Acar buah-buahan yang diperbuat daripada ketumbar kering, cili hijau, kelapa kisar, halia dan anggur hitam (tanpa biji) dipercayai boleh membantu mengurangkan sakit perut akibat masalah pencernaan.

Merendahkan paras kolestrol

Pengambilan minuman ketumbar (biji ketumbar yang dididih dan disejukkan) secara kerap boleh membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah. Ini kerana ketumbar memberikan kesan diuretik dan mampu merangsang fungsi buah pinggang.

Masalah kulit

Sesudu jus ketumbar yang dicampur dengan secubit serbuk kunyit menjadi penawar efektif untuk masalah kulit. Antara masalah kulit ini termasuk bintik-bintik hitam, jerawat dan kulit kering. Adunan tersebut perlu diaplikasikan pada wajah selepas wajah dibersihkan setiap malam sebelum tidur.

Melawan Salmonella

Ketumbar mengandungi kompaun antibakteria yang mampu melawan masalah yang diakibatkan oleh Salmonella. Ini didedahkan oleh satu hasil kajian yang disiarkan dalam Journal of Agriculture and Food Chemistry pada tahun 2004.

Ulser mulut

Satu komponen minyak perlu yang ditemui dalam ketumbar, Citronelol adalah sejenis antiseptik yang hebat. Selain bersifat antimikrob dan memberi kesan penyembuh, ia menghalang masalah ulser dan luka dalam mulut daripada bertambah teruk. Tambahan pula, ia mampu menyegarkan semula nafas anda.

Ketumbar kering bagaimanapun perlu digunakan secara berhati-hati oleh mereka yang mengalami asma dan bronkitis tahap kronik.

Sumber: www.online-vitamins-guide.com

1 comment:

  1. Truly, this information are very important. We able to learn many things. We hope more important things ahead. Thank you.

    ReplyDelete