Kuih bakar
ANTARA kuih tradisional Melayu yang sangat popular dan digemari ramai ialah kuih bakar. Bukan setakat keharuman daripada pandan tetapi ia juga lembut dan sangat sedap dihidangkan dengan teh-O.
Membuat kuih bakar tidak sukar kerana bahan-bahannya mudah didapati di mana-mana. Bahan terpenting tentulah daun pandan. Jangan sesekali menggunakan perisa atau esen pandan untuk membuat sebarang kuih tradisional kerana rasanya tidak asli lagi.
Ada dua cara boleh digunakan bila membancuh kuih bakar. Pertama, anda boleh bahagikan bahan menjadi dua atau tiga bahagian. Kemudian masukkan ke dalam pengisar atau blender. Dengan cara ini, kerja anda menjadi mudah. Jika adunan sebati betul, anda tidak perlu menapisnya.
|
|
Kaedah seterusnya adalah dengan menggunakan balloon whisk atau pemutar telur. Untuk hasil yang lebih memuaskan setiap kali membuat batter atau adunan seperti ini, anda mestilah membuat 'lubang' di tengah mangkuk berisi campuran tepung.
Sambil menuangkan telur dan santan, anda perlu mengacau di tengahnya saja sambil perlahan-lahan menambah tepung di bahagian sekeliling. Dengan cara ini juga, tepung mudah sebati dengan cecair.
Jika menuangkan cecair sekali gus tanpa tektik seperti ini, adunan sukar menjadi licin dan halus. Bila anda menapis, akan kelihatan banyak bahagian yang tidak larut. Pastikan pewarna hijau dicampurkan terlebih dulu dengan jus pandan. Ini untuk mengelakkan kuih menjadi terlalu hijau.
Seelok-eloknya, gunakan santan asli yang diperah sendiri. Setelah mengisar daun pandan dengan air, campurkan ke dalam kelapa parut. Ramas bersama sehingga menghasilkan santan. Dengan kaedah ini juga, anda akan mendapat sebanyak mungkin jus pandan. Ini bermakna anda perlukan 1 liter campuran santan dengan jus pandan.
Jangan sesekali lupa memasukkan garam ke dalam kuih-muih bersantan. Ini adalah kerana lemak di dalam santan hanya akan terserlah bila kuih 'berasa'. Garam hanya sesedap rasa saja supaya ia tidak terlalu masin. Untuk mengetahui sukatan yang sempurna, hanyalah dengan rajin ke dapur memasak. Inilah pengalaman yang tidak dapat dicari di dalam mana-mana buku masakan.
Jika anda menggunakan santan di dalam kotak yang berukuran 200 ml, anda perlu menambah 300 ml air lagi untuk mendapatkan 500 ml santan. Ia sama juga jikalau anda membeli santan segar di pasar dalam sukatan 1 biji atau 250 ml. Tambah sebanyak 250 ml air lagi.
Kuih bakar ini lemak kerana santan dan telur yang digunakan. Bagi menghilangkan rasa hanyir yang mungkin ada, buangkan bahagian pekat pada putih telur. Bahagian ini dinamakan 'pusat'. Jika anda meletakkan sebiji telur yang sudah dipecahkan, di atas tapak tangan, anda akan dapat merasai bahagian 'pepejal' yang terlekat dengan kuning telur itu.
Selain marjerin, boleh juga digunakan mentega cair. Kuih akan nampak berkilat bila menggunakan marjerin atau mentega. Bagi yang tidak suka terlalu manis, bolehlah kurangkan gula.
Ketuhar mesti dipanaskan terlebih dulu. Pastikan ketuhar ada elemen pemanas atas dan bawah. Ini dapat memastikan seluruh kuih masak pada masa yang sama. Ia seakan-akan dapur lama yang menggunakan bara sabut di sebelah atasnya dan bara kayu api di bahagian bawah.
Tentulah kuih yang dimasak secara asli atau tradisional lebih wangi baunya jika dibandingkan dengan kuih yang dibakar menggunakan ketuhar gas atau elektrik. Walau bagaimanapun, anda masih boleh menikmati kuih bakar yang enak dengan mengikuti resipi ini. Tidak perlu lagi mengeluh bila kuih yang anda beli kurang lemak atau terlalu manis kerana membuatnya tidak sukar.
Setelah sejuk, potong kuih dengan spatula plastik. Jangan gunakan pisau kerana potongannya tidak cantik dan kemas. Bijan juga tidak perlu digoreng kering atau sangai terlebih dulu kerana ia akan menjadi keemasan semasa dibakar.
0 ulasan:
Post a Comment