Friday, June 3, 2011

Pisang dan Hati

Pisang & Hati


Seorang guru sekolah Tadika yang bernama Ahmad telah menganjurkan satu permainan untuk menguji anak-anak muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastik berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga enam biji dan paling banyak dalam sembilan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.

"Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya" beritahu Cikgu Ahamad. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg mereka.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk. Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg mereka menjadi berat, badan juga berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan ini.

Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Ahmad sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

"Ok semua, apa rasanya kena bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?" tanya Cikgu Ahmad. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau yang busuk.

"Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati kita. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu" tegas Cikgu Ahmad.

Ahmad mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik daripada membenci. Banyakkan memberi daripada menerima..

-Allah s.w.t. lebih mengetahui segalanya-

0 ulasan:

Post a Comment