Thursday, June 9, 2011

Anak Tak Nak Gosok Gigi

PENJAGAAN gigi kanak-kanak eloklah dimulakan seawal yang mungkin iaitu sebaik saja gigi pertama muncul atau tumbuh di dalam mulut. Ini biasanya ketika seseorang bayi berusia lebih kurang enam bulan. Penjagaan awal dimulakan dengan menggunakan kain berupa tuala yang agar kesat bagi memudahkan anda menggosok di permukaan gigi berkenaan.

Cara ini dilakukan beberapa kali sehari supaya bayi berkenaan tidak lagi akan menjadi takut. Ia boleh dilakukan ketika dalam pelukan atau berbaring sama ada selepas minum susu atau makan. Galakkan juga bayi minum air kosong melalui botolnya.

Untuk mengelakkan kerosakan gigi teruk yang dipanggil karies rampan (kerosakan berlaku pada hampir semua gigi kecuali gigi hadapan dan bawah), jangan biarkan bayi tidur sambil minum susu terutama susu yang dicampur manisan seperti milo kerana ketika tidur masih ada baki susu belum ditelan yang akan digunakan bakteria dan akhirnya boleh menyebabkan kerosakan gigi. Tambahan pula ketika tidur pengeluaran air liur menjadi kurang. Air liur biasanya dapat membersihkan mulut daripada sisa makanan.

Apabila kanak-kanak berusia lebih kurang dua tahun yang mana kebanyakan gigi susu sudah tumbuh, si kecil bolehlah dilatih menggosok gigi dan diajar berkumur. Pada peringkat ini kanak-kanak biasanya akan menelan ubat gigi. Janganlah bimbang kerana ia tidak berbahaya.

Kita boleh juga memulakan latihan ini tanpa penggunaan ubat gigi. Kajian pakar psikologi menunjukkan kanak-kanak amat mudah meniru gaya atau perbuatan ibu bapanya berbanding mengikut arahan. Oleh itu satu cara berkesan menggalakkan mereka rajin menggosok gigi adalah dengan menggosok gigi dan berkumur di hadapan mereka.

Jadikan tabiat menggosok gigi satu aktiviti yang menarik kepada kanak-kanak. Antaranya, sediakan cermin berbingkai kartun, bunga atau binatang kegemaran mereka. Berus yang digunakan adalah pilihan mereka sendiri.

Pada masa ini ada banyak berus gigi yang dibuat menarik kepada kanak-kanak dalam berbagai bentuk dan warna. Ubat gigi juga didatangkan dalam pelbagai perisa yang digemari kanak-kanak. Kita juga boleh meletakkan pelekat (sticker) menarik di dinding bilik air untuk memikat kanak-kanak berada di bilik air ketika menggosok gigi.

Penggunaan berus gigi yang menggunakan kuasa bateri juga dewasa ini amat digemari kanak-kanak. Berus jenis ini bukan saja lembut, malah amat membersihkan gigi mereka jika digunakan dengan berkesan. Selain daripada itu, penggunaan berus jenis ini amat berguna kepada kanak-kanak kurang upaya yang biasanya sukar membersihkan gigi mereka.

Satu aktiviti lagi yang perlu di ajar kepada kanak-kanak pada peringkat ini adalah berkumur setiap kali selepas makan terutama makanan dan minuman manis. Bagi peringkat lebih dewasa iaitu pada umur kira-kira enam tahun, pemantauan aktiviti membersihkan gigi perlu ditekankan kerana pada masa ini mereka sudah mula leka dan lebih suka bermain.

Ini amat penting kerana pada peringkat ini kegigian campuran sudah bermula yang mana gigi susu mula tanggal dan gigi kekal mula tumbuh. Saiz tidak seimbang dan susunan tidak teratur (saiz rahang belum cukup besar untuk mendapatkan susunan gigi yang teratur) memudahkan sisa makanan berkumpul.

Kanak-kanak juga sudah boleh di galakkan melawat doktor pergigian untuk mendapatkan pemeriksaan dan nasihat serta supaya mereka tidak takut berjumpa doktor. Mereka biasanya lebih mendengar nasihat orang lain berbanding ibu bapa, maka nasihat daripada doktor pergigian akan memberi kesan kepada kanak-kanak berkenaan.

0 ulasan:

Post a Comment