Mempengaruhi minda anak
Sebagai ibu bapa yang baik, apakah yang boleh anda lakukan untuk membesarkan anak-anak yang belum lagi 'dinodai' dari segi mental?
ANAK-ANAK mungkin akan membesar dengan pandangan bahawa dunia 'terhutang' kepada mereka dan mereka sepatutnya mendapat apa sahaja yang diingini. - Gambar hiasanSEBAGAI ibu bapa, kita sering mendengar ungkapan seperti 'Saya nak ini' atau 'Saya nak itu'. Bagi kebanyakan ibu bapa, keupayaan membelikan anak barangan yang diminta akan membuatkan orang dewasa terasa bagaikan berjaya.
Ibu bapa secara naturalnya ingin menggembirakan anak dan mahu membuatkan mereka menyukainya.
Akan tetapi, tindakan memenuhi setiap permintaan anak-anak tidak akan membantu. Anak-anak mungkin akan membesar dengan pandangan bahawa dunia 'terhutang' kepada mereka dan mereka sepatutnya mendapat apa sahaja yang diingini. Keadaan ini akan menggandakan permintaan tidak perlu daripada mereka.
Justeru, sebagai ibu bapa yang baik, apakah yang boleh anda lakukan untuk membesarkan anak-anak yang belum lagi 'dinodai' dari segi mental?
1. Didik anak tentang perbezaan antara keperluan dan kehendak
Setiap kanak-kanak memerlukan sepasang kasut tetapi ini tidak bermakna, mereka memerlukan sepasang sneaker yang mahal dan berjenama. Tiada maknanya anak anda memerlukan barang permainan yang baru setiap kali anda keluar membeli-belah. Lebih-lebih lagi apabila mereka telah memiliki satu almari yang dipenuhi dengan barangan yang jarang diguna setiap hari. Justeru, ibu bapa dinasihati supaya berbelanja mengikut satu senarai sahaja agar tidak terlebih belanja. Ibu bapa mungkin boleh menerapkan dalam minda anak-anak bahawa permintaan mereka hanya akan ditunaikan pada hari jadi atau perayaan sahaja.
2. Dermakan barangan terpakai yang tidak diperlukan lagi
Mengajar anak tentang kesengsaraan orang lain akan membantu anak menyedari betapa bertuahnya diri mereka. Setiap tahun, anda boleh melakukan pemeriksaan terhadap koleksi pakaian dan barangan anak. Dermakan barangan yang tidak diperlukan lagi. Jadikan contoh yang baik kepada anak dengan menderma untuk mengajar anak tentang betapa besarnya erti memberi.
3. Sedarilah hakikat si anak akan membandingkan dirinya dengan orang lain
Sudah menjadi lumrah manusia suka membandingkan dirinya dengan orang lain. Manusia tidak akan berpuas hati dengan mudah, begitu juga dengan anak yang sedang membesar. Mereka mungkin akan meminta untuk dibelikan pakaian tertentu kerana pengaruh rakan. Sekiranya barangan yang diminta itu diperlukan, anda mungkin terpaksa memenuhi keperluannya. Jika tidak, jelaskan mengapa pembelian barangan itu tidak perlu dan di luar bajet. Berikan dorongan kepada anak-anak untuk berusaha demi mengecapi apa yang diingininya.
4. Didik anak tentang berjimat cermat dan bajet
Ramai dalam kalangan anak remaja hari ini tidak tahu bagaimana untuk berjimat cermat dan merancang perbelanjaan mereka. Mereka berbelanja tanpa berfikir panjang dan apabila tidak lagi dibekalkan wang belanja oleh ibu bapa, mereka merana. Mendidik anak tentang cara berjimat adalah satu kemahiran yang tidak ternilai harganya. Apabila meningkat dewasa, mereka akan tahu bagaimana untuk menyimpan kira-kira 50 peratus daripada apa yang diperoleh. Sikap seperti ini akan berterusan sehingga dewasa. Apa yang anda boleh lakukan ialah memberi anak satu bajet untuk membeli pakaian dan membiarkan mereka berbelanja sendiri. Sediakan duit belanja untuk aktiviti-aktiviti bermanfaat. Terangkan kepada anak bahawa wang yang telah dibelanjakan tidak akan dibekalkan lagi dan mereka diminta lebih berhati-hati ketika berbelanja. Menerusi kaedah ini, anak-anak akan menyedari betapa mahalnya harga barangan sekarang dan ia sekali gus mengajar mereka tentang bagaimana merancang bajet.
5Berikan anak peluang meraih ganjaran
Dalam realiti kehidupan, jarang sekali kita menerima ganjaran tanpa sebarang usaha. Malah, untuk memenangi loteri, pertama sekali anda perlu membeli sekeping tiket. Jadi, daripada terus memberi anak ganjaran tanpa sebab, biarkan mereka menikmati 'habuan' tersebut melalui usaha mereka. Misal kata, kecapilah persetujuan untuk memberinya ganjaran berbentuk hadiah pakaian sekiranya dia memperoleh keputusan akademik yang membanggakan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.thecutekid.com.
0 ulasan:
Post a Comment