Hangatkan imaginasi anak-anak anda dengan bercerita bersama mereka sebelum tidur. IBU BAPA sebenarnya memainkan peranan penting sewaktu menidurkan anak-anak. Mereka boleh membacakan kisah atau cerita daripada buku atau memainkan kaset rakaman kisah klasik kepada anak-anak yang mahu tidur. Menurut penulis dan pelatih korporat, Ronny M Cole, perkara ini secara tidak langsung akan menggalakkan perkembangan minda anak-anak serta mewujudkan kasih sayang antara mereka dan ibu bapa. "Membacakan kisah daripada buku adalah bagus dan ia salah satu cara paling mudah. Ibu bapa bukan sekadar bercerita kepada anak-anak. "Contohnya, mereka dapat menggunakan kisah teladan untuk memberi panduan kepada anak-anak agar mereka menjadi gembira dan lebih produktif. "Mencipta kisah yang hebat dan menarik akan menukar waktu tidur anak-anak anda kepada aktiviti kekeluargaan yang menyeronokkan," kata Cole. Tambah Cole, kisah daripada buku cerita yang direka khas itu boleh membantu anak-anak mengenal pasti emosi yang mereka alami sepanjang hari sambil membawa kepada fokus kegembiraan yang mereka rasai. "Membaca kisah-kisah sebelum tidur akan meninggalkan kesan positif untuk anak-anak." Terdapat beberapa judul buku kanak-kanak yang popular, termasuk Watership Down, karya pertama Richard Adam. Ia sebuah novel yang amat berjaya. Novel itu ditulis berdasarkan koleksi kisah-kisah yang diceritakan Adam kepada anak-anaknya ketika lawatan mereka ke kawasan luar bandar. Cole menganggarkan dia telah menceritakan lebih 3,000 kisah kepada anaknya. Dia mula mereka cerita atau kisah menarik atas permintaan anaknya ketika tidak terdapat sebarang buku yang boleh ditemui di tempat mereka kunjungi. Namun Cole turut mengakui mencipta cerita-cerita sebegini adakalanya menakutkan. "Apabila kali pertama anda mencuba, anda akan berasa agak sukar mereka kisah yang boleh menarik perhatian anak anda. "Menceritakan kisah sendiri lebih menyebabkan anda terlibat dan sering meletakkan diri anda sebagai subjek. "Namun sama ada anda mula bercerita dengan baik atau sebaliknya, anak-anak anda akan membesar dengan menyukai cerita yang anda reka bersama mereka," jelasnya. Cole menegaskan aktiviti itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selama sebulan sebelum anda dapat merasai kesannya. "Selepas sebulan, anda akan mengetahui sama ada anak anda menyukainya atau mendapat sesuatu daripada kisah yang anda ceritakan. "Setelah itu, anda juga boleh menyelitkan kisah-kisah pengajaran mengenai moral, sains dan apa sahaja yang anda inginkan." Tahun lalu, seorang setiausaha kerajaan Britain, Ed Balls memberi respons terhadap kajian bahawa seorang daripada 10 kanak-kanak di negara itu tidak pernah dibacakan buku cerita sebelum tidur. Menurut Balls, bercerita selama 10 minit setiap malam sebelum anak-anak tidur amat penting. Ia umpama satu diet yang baik serta gaya hidup yang sihat. Beliau turut menjelaskan, aktiviti itu perlu dijadikan rutin harian ibu bapa, sama seperti memberus gigi dan mandi. Bagi Cole pula, dia melihat ibu bapa yang bercerita kepada anak-anak sebelum tidur membawa kesan jangka panjang yang positif dalam diri masing-masing. "Salah satunya ialah ibu bapa akan belajar menjadi kreatif dan secara tidak langsung membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih profesional. "Lebih banyak anda bercerita, anda akan menjadi lebih kreatif dalam setiap perkara yang dilakukan. Anda akan dapati banyak idea-idea baru muncul di fikiran anda setiap masa. "Manakala kebaikan untuk anak-anak pula ialah mereka turut mempelajari perkara baru dan menjadi lebih aktif dalam proses pembelajaran berdasarkan kreativiti dan kemahiran pemikiran."
Wednesday, April 27, 2011
Bercerita Sebelum Tidur
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment