Al-kisah, di sebuah hutan, ada seekor anak singa yang kematian ibu. Anak singa itu semakin hari semakin lemah tanpa perlindungan dari ibunya. Beberapa waktu kemudian ada sekumpulan biri-biri melintas kawasan itu.
Anak singa itu mengerak-gerakkan tubuhnya yang lemah. Seekor ibu biri-biri tergerak hatinya dan merasa kasihan melihat keadaan anak singa tersebut. Lalu timbullah rasa simpati untuk melindungi anak singa tersebut.
Si ibu biri-biri menghampiri anak singa tersebut lalu membelai dengan kasih sayang. Kerana dapat menikmati kehangatan kasih sayang begitu, anak singa tersebut tidak mahu berpisah dengan ibu biri-biri. Dan dia pun mengikut ke mana sahaja ibu biri-biri itu pergi. Dan jadilah dia sebahagian daripada keluarga besar kumpulan biri-biri itu.
Hari terus berlalu, dan anak singa itu semakin besar di bawah asuhan dan lindungan ibu biri-biri. Ia hidup dalam kumpulan biri-biri. Ia menyusu, makan, minum dan bermain dengan anak-anak biri-biri dalam kumpulannya. Tiada sebarang beza dengan anak-anak biri-biri yang lain. Ia sama sekali tidak merasakan dirinya seekor singa sehinggalah telah besar dan dewasa.
Suatu hari, berlaku satu tragedi. Seekor serigala buas masuk memburu ke kawasan biri-biri untuk mencari makan.
"Kau singa! Cepat lawan serigala tu, cukup dengan mengaum sahaja, pasti serigala tu akan lari ketakutan!" Kata ibu biri-biri kepada anak singa yang telah kelihatan gagah itu.
Tatapi anak singa yang sejak kecil hidup di tengah-tengah kumpulan biri-biri itu turut takut dan berlindung di belakang ibu biri-biri. Ia berteriak sekeras-kerasnya dan yang keluar dari mulutnya adalah suara mengembek sama seperti biri-biri lain. Bukan mengaum.
Anak singa itu tidak mampu buat apa-apa ketika seekor anak biri-biri yang merupakan saudara sesusunya, diterkam dan dibawa lari oleh serigala.
Ibu biri-biri sangat sedih kerana salah seekor anaknya maut dimakan serigala. Ia pun memandang anak singa itu dengan rasa marah.
"Sepatutnya kau boleh membela kami! Seharusnya kau boleh menyelamatkan saudara kau diterkam dan dibawa lari oleh serigala jahat"
Anak singa itu hanya menunduk tidak faham apa yang dikatan oleh ibu biri-biri. Dia sendiri berasa takut kepada serigala sebagaimana biri-biri yang lain.
Beberapa hari berikutnya serigala jahat itu datang lagi memburu biri-biri untuk dimakan. Kali ini ibu biri-biri pula yang diterkam serigala. Biri-biri lain semuanya tidak dapat menolong. Anak singa itu tidak sanggup melihat ibu biri-biri yang dianggap ibu sendiri diterkam serigala. Dia pun mengais-ngaiskan kaki sambil menghalakan kepalanya ke arah serigala seolah-olah dia punya tanduk. Melihatkan tingkah laku anak singa itu, serigala maklum di hadapannya adalah singa yang bersifat biri-biri. Jadi telah tiada bezanya dengan biri-biri.
Anak singa itu cuba menyerang.. dia menyerang seumpama biri-biri menyerang iaitu dengan cara menerjang untuk menanduk. Tetapi dengan hanya menghayunkan kaki depannya serigala tersebut berjaya mencakar wajah anak singa tersebut.
Anak singa itu rebah dan mengaduh kesakitan. Biri-biri lain hanya menyaksikan dan ibu biri-biri pula merasa hairan kenapa singa yang besar dan gagah itu tewas kepada serigala.
Serigala terus menyerang anak singa itu, sehinggalah hampir membunuh anak singa tersebut. Pada saat-saat kritikal itu, ibu biri-biri yang lemah itu tidak sampai hati melihat anak singa yang dijaga sejak kecil menjadi korban serigala - dengan sekuat tenaga menanduk serigala sehigga serigala itu terpelanting. Dan anak singa itu dapat bagun kembali.
Ketika itu seekor singa dewasa muncul dengan ngauman yang sangat hebat. Semua biri-biri ketakutan, anak singa itu turut merasa takut dan serigala jahat yang menyerang itu telah melarikan diri.
Anak singa itu ketakutan. "Jangan bunuh aku! jangan!" rayunya.
"Kau anak singa, bukan anak biri-biri... aku tidak akan bunuh kau."
Anak singa itu menjawab "Tidak! aku adalah anak biri-biri, tolong lepaskan aku."
Singa dewasa sangat hairan. Bagaimana pula anak singa boleh bersuara biri-biri dan bersifat seperti biri-biri. Dengan geram dia menyeret anak singa itu ke sebuah tasik. Dia mahu menunjukkan siapakah sebeneranya anak singa itu.
Sebaik tiba di tasik yang tenang dan jernih airnya, ia menyuruh anak singa itu melihat bayangnya, dan sebaik melihat bayang dirinya sendiri dan dibandingkan dengan singa dewasa. Sebaik melihat bayangnya sendiri, anak singa terkejut "Kenapa rupa dan bentuk ku sama seperti kau... sama seperti singa."
"Sebab kau adalah seekor singa, bukan biri-biri" Tegas singa dewasa itu...
"Jadi! aku bukan biri-biri? Aku adalah singa?"
"Ya! kau adalah singa. Raja hutan yang berwibawa dan digeruni semua penghuni hutan. Biar aku ajarkan kau bagaimana mahu menjadi raja di hutan!" Kata singa dewasa.
Singa dewasa itu pun mengangkat kepalanya penuh wibawa dan mengaum dengan kuat. Anak singa itu cuba meniru. Dia juga dapat mengaum dengan kuat. Tidak jauh dari situ, serigala yang mendengar ngauman anak singa melarikan diri dengan lebih kencang apabila mendengar ngauman hebat anak singa.
Anak singa berteriak kemenangan. "Aku adalah singa. Raja hutan yang perkasa." Singa dewasa pun tersenyum gembira mendengarnya...
Thursday, November 19, 2009
kisah anak singa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 ulasan:
Post a Comment